Seminar Peradaban Bangsa : Siapa Melayu?
MELAYU DAN KESARJANAANNYA: PERIHAL PERJUANGAN KEBANGSAAN MELAYU
Prof. Adnan Nawang, Ph.D.
Penyandang Kursi Za’ba
Unuiversiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim, Perak
PENDAHULUAN
Dalam tulisan ini perbincangan tertumpu kepada menilai sumbangan pemikiran, perjuangan, hasrat, cita-cita serta keterlibatan setiap individu terpilih dalam berbagai-bagai kegiatan sosial, ekonomi dan politik di Malaysia sebelum Merdeka. Perjuangan mereka mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan usaha-usaha membela nasib serta maruah bangsa Melayu yang mengalami berbagai kekangan dan diskriminasi di zaman pemerintahan kerajaan kolonial British. Antara individu tersebut termasuklah Abdullah Munsyi, Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Abas Taha, Abdul Majid Zainuddin, Zainal Abidin Bin Ahmad (Za’ba), Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad dan Burhanuddin al-Helmi. Perbincangan ini menyentuh juga beberapa individu lain yang turut memberikan sumbangan tenaga dan pemikiran dalam mengasaskan, menyemarakkan, memperkukuhkan dan memertabatkan perjuangan tersebut.
Beberapa individu tersebut, selain aktif menyumbangkan banyak tulisan sama ada berbentuk rencana, cerpen, buku, novel serta kitab agama, turut terlibat secara langsung dalam mewujudkan prasarana perjuangan seperti menubuhkan madrasah untuk menyebarkan aliran pemikiran Islam yang serasi dengan perjuangan mereka. Pada masa yang sama, mereka juga menubuhkan syarikat percetakan dan penerbitan yang mendedikasikan perusahaan itu terutamanya kepada penerbitan akhbar, majalah dan kitab-kitab selain usaha meningkatkan ilmu pengetahuan yang selari dengan hasrat perjuangan kebangaaan yang berlaku di zaman tersebut. Terdapat di antara mereka terlibat secara aktif menubuhkan dan menggerakkan persatuan dan pertubuhan bahasa, persuratan, kebudayaa, syarikat kerjasama dan juga politik.
Kesarjanaan setiap individu yang dijadikan rujukan dalam tulisan ini sudah diakui umum. Sebagai contohnya, sumbangan Abdullah Munsyi melaui dua karya utamanya, Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah menjadikan beliau digelarkan sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden. Pemikiran al-Hadi, Sheikh Tahir dan Haji Abas seperti terpancarar terutamanya melalui lembaran al-Imam (1906-08), Neraca (1914) dan penubuhan tiga madrasah, iaitu Madrasah al-Iqbal 1908 (Singapura), Madrasah al- Madrasah al-Hadi 1917 (Melaka) dan Madrasah al-Masyhur 1916 (Pulau Pinang) juga sudah menjadi tidak asing kepada sarjana tempatan dan luar negara, terutama dalam perbincangan mereka mengenai gerakan islah Islam di Malaysia.
Abdul Majid banyak menulis dalam akhbar dan majalah sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu serta menghasilkan buku The Malays by One of Them (1925) yang memperkatakan berbagai masalah orang Melayu. Begitu juga dengan Za’ba. Pemikirannya tidak terhad kepada persoalan ilmu bahasa atau linguistik sahaja, malah menyumbangkan ratusan artikel sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dengan perbincangan yang bersifat emotif, provokatif, sinis serta kritis mengenai berbagai masalah sosial, ekonomi dan politik yang dihadapi oleh orang Melayu. Beliau juga terlibat aktif menubuhkan persatuan dan menerbitkan majalah. Kajai terkenal sebagai Bapa Kewartawanan Melayu, Ishak dikenali dengan penulisan cerpen serta novel di samping seorang wartawan terkenal dan juga tokoh politik. Burhanuddin aktif dalam pergerakan Islam selain menyumbangkan pemikirannya melalui akhbar atau majalah tempatan serta menghasilkan beberapa buku mengenai perjuangan kebangsaan Melayu dan beliau juga seorang tokoh politik terkenal.
Sumbangan pemikiran serta kegiatan sosial mereka dalam pengertiannya yang luas menjadikan mereka peneroka dan pembina suatu tradisi yang menarik dalam perkembangan kesarjanaan Melayu dan juga perkembangan politik Malaysia. Ini dapat dilihat melalui pemikiran serta keterlibatan aktif mereka dalam memperjuangkan cita-cita politik Melayu melalui penulisan masing-masing di zaman tersebut. Mereka adalah sarjana dan juga aktivis politik.
Dalam perkembangan kesarjanaan sejak awal kurun ke-19 hingga pertengahan awal kurun ke-20, terdapat beberapa pegawai British seperti Thomson, Marsden, Raffles, Leyden, Crawfurd, Clifford, Begbie, Swettenham dan diikuti oleh Wilkinson, Winstedt, Dussek, Gullick serta Mubin Sheppard misalnya terlibat aktif dalam kegiatan penyelidikan (termasuk pengumpulan manuskrip Melayu lama), penulisan dan penerbitan berbagai bahan mengenai hal ehwal di Nusantara atau Alam Melayu, terutamanya berkaitan dengan masyarakat Melayu yang menyentuh mengenai Islam, sejarah, bahasa, persuratan, pendidikan, kebudayaan, ekonomi dan politik. Mereka adalah pegawai tinggi dalam pentadbiran British, tetapi menghasilkan banyak karya bersifat kesarjanaan. Mereka menyumbangkan artikel kepada jurnal ilmiah seperti Royal Asiatic Society di Bengal sejak awal kurun ke-19, kemudian kepada Royal Asiatic Society of Great Britain and Irelad bermula pada 1823, diikuti dengan Logan’s Journal menjelang akhir kurun ke-19 di Singapura. Pada awal kurun ke-20 ditererbitan pula Journal of Straits Branch Royal Asiatic Society dan bertukar menjadi Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society selepas kemerdekaan tercapai pada 1957, seterusnya menjadi Journal of Malaysian Branch Royal Asiatic Society apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963. Jurnal ini adalah cawangan daripada Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland. Sebagai contohnya, pada 1809 semasa berumur 27 tahun Raffles pernah menulis kepada Royal Asiatic Society di Bengal mengenai orang Melayu semasa beliau berada di Pulau Pinang dengan mengatakan:
I cannot but consider the Melayu nation as one people, speaking one language, though spread over so wide a space, and preserving their character and customs, in all the maritime states lying between the Sulu Seas and the southern oceans. (Read p. 7)
Mereka dikenali sebagai sarjana-pentadbir (scholar-administrators/scholar-officials). Terdapat juga kegiatan kesarjanaan golongan mubaligh Kristian dari Belanda dan Britain bermula menjelang akhir kurun ke-18 dan bergiat aktif hingga dekad-dekad awal kurun ke-20. Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 terdapat seorang mubaligh Kristian dari Amerika Syarikat, iaitu Shellabear. Beliau aktif menyebarkan fahaman Katolik di Alam Melayu dengan menterjemahkan dan menerbitan kitab-kitab serta risalah agama Kristian melalui syarikat penerbitan yang ditubuhkannya, iaitu Methodist Publishing House (MPH). Selain penerbitan kitab-kitab agama itu, beliau turut memberi perhatian kepada pengumpulan manuskrip khazanah bahasa dan kesusasteraan Melayu lama. Sebagai contohnya beliau menerbitkan Sejarah Melayu yang kini dikenali sebagai versi Shellabear. Beliau serta mubaligh terawal dari Britain dan Belanda yang lebih awal daripadanya boleh dianggap sebagai sarjana-mubaligh terkenal pada zaman itu di rantau ini.
Abdul Majid serta Za’ba dapat digolongkan ke dalam kategori sarjana-pentadbir kerana mereka adalah pegawai dalam perkhidmatan colonial British, sama seperti pegawai-pegawai kolonial itu. Kegiatan al-Hadi, Sheikh Tahir dan Haji Abas pula, dari segi penulisan dan penerbitan kitab-kitab agama Islam tidak begitu berbeza daripada Shellabear, kecuali berfahaman agama yang berlainan. Persamaannya berakhir di situ untuk kedua-dua golongan sarjana yang berasal dari Barat dengan sarjana tempatan itu. Pihak sarjana-pentadbir British mempunyai agenda, misi dan visi kolonial mereka. Pihak sarjana tempatan pula berhadapan dengan arus perluasan kuasa Britisah dan kesan daripada perubahan menyeluruh terhadap kehidupan orang Melayu dari segi sosial, ekonomi dan politik di negeri-negeri Melayu. Mereka menawarkan diri muncul melalui kesarjanaan masing-masing sebagai anak zaman yang berusaha membela nasib anak bangsa yang mereka yakini telah terhina, terbelenggu dan tertindas akibat daripada penjajahan British.
Sumbangan pemikiran sarjana-pentadbir kolonial itu secara langsung atau pun tidak langsung telah memberi maklumat berguna yang membolehkan pihak kerajaan British di London merancangkan dengan jelas dasar serta arah tuju politik kolonial di negeri-negeri Melayu selepas pengambilan Pulau Pinang (1786). Raffles adalah perancang utama kepada pengambilan Singapura (1819) dan berikutnya Britain berjaya memantapkan penguasaannya dengan mengadakan ‘Perjanjian’ London 1824 hingga terbahagi dua penguasaan Selat Melaka antara Britain dengan Belanda. Perlu ditegaskan ‘perjanjian’ bersifat rompakan itu berlaku di London tanpa penyertaan pihak tempatan. Pada 1874 berlaku pula Perjanjian Pangkor. Ini menandakan bermulanya perluasan dan penguasaan British di negeri-negeri Melayu Semenanjung. Proses itu berterusan dengan ‘Perjanjian’ Bangkok 1909 yang mengakibatkan Kelantan, Kedah, Perlis dan Terenggannu beralih ke tangan British, di mana ‘perjanjian’ itu juga berlaku tanpa penglibatan negeri berkaitan. Akhirnya Johor juga turut terangkum ke dalam kerangka kekuasaan British. Bermula pada 1914. Negeri-negeri Melayu disatukan di bawah kekuasaan British dan dikenali oleh sarjana-pentadbir dan juga pegawai British secara tak rasmi sebagai Malaya, dan kemudiannya sebagai British Malaya, bermaksud kawasan yang dimiliki oleh Great Britain serta berada di bawah kekuasaan Empayar British.
Cita-cita sarjana-pentadbir British seperti dijelaskan oleh Raffles untuk melihat kekuasaan British ke atas Melayu merangkumi juga Sumatra seperti dalam petikan di atas berakhir dengan ‘Perjanjian’ London. Ini menjadikan kuasa British melalui kegiatan perdagangan orang Cina serta Eropah berkembang di selatan Semenanjung berpusat di Singapura. Masyarakat majmuk menjadi semakin berkembang di situ. Mereka terdiri daripada orang Melayu Semenanjung serta dari kepulauan Nusantara dan golongan saudagar dari India dan Cina. Perluasan kuasa yang berlaku selepas 1874 hingga terjadinya British Malaya (1914) itu menjadikan negeri-negeri Melayu Semenanjung salah satu pusat ekonomi terkaya di Asia pada 1920-an. Pegawai-pegawai tinggi British mempunyai idea yang jelas mengenai masa hadapan politik kolonial mereka. Melayu sebenar pada tanggapan mereka bersifat kampungan (rural), setia kepada rajanya, konservatif dan “relaxed to the point of laziness”. (Read, p.9). Pada dekad tersebut orang Melayu sudah mempunyai sembilan buah negeri hasil dari visi, kelicikan dan wacana sarjana-pentadbir kolonial dan kelemahan pihak tempatan, tetapi pada masa yang sama terdapat sebuah ‘negara’ jajahan British bernama Malaya. Institusi Residen dan Penasihat British di sembilan negeri itu bukan bertuankan kepada raja di setiap negeri kerana pemerintahan British mempunyai pusat kuasa tertingginya di bawah Gabenor British di Singapura.
PERJUANGAN KEBANGSAAN
Abdullah Munshi menjadi saksi kepada banyak peristiwa yang berlaku di zaman awal penguasaan British di Singapura. Dia mengenali beberapa pegawai tinggi British, terutamanya Raffles. Melalui dua buku tulisannya itu terdapat kisah kemunduran Melayu seperti kekacauan, pegaduhan, pembunuhan, perdagangan hamba, adat serta perilaku pembesar dan raja-raja, kemiskinan, kelemahan bahasa, amalan karut, kelemahan fahaman agama, kemunduran sikap serta nilai dan kelemahan ilmu serta pendidikan. Semua itu dilihatnya secara perbandingan dan dalam hubungan dengan amalan serta tingkah laku pegawai British dan keluarga orang Eropah di zamannya.
Kepentingan tulisan Abdullah bukan terletak kepada usahanya menggerakkan penyatuan dan perjuangan bangsa Melayu menentang kuasa asing, tetapi ternyata gaya penulinnya yang bersifat kritis, emotif dan provokatif mengenai masyarakat Melayu yang dianggap sebagai sebahagian daripada dirinya memperlihatkan bermulanya suatu usaha ke arah membela nasib orang Melayu dari berterusan terperangkap dalam kegelapan zaman lampau. Pemikiran yang terdapat dalam tulisan Abdullah lebih 30 tahun terdahulu itu mula mendapat tempat apabila lahir akhbar yang diusahakan oleh golongan India Muslim yang dikenali sebagai Jawi Paeranakan. Akhbar yang sama namanya komuniti itu, Jawi Peranakan (1876 – 1895) muncul sebagai akhbar mingguan Melayu pertama. Akhbar ini hidup selama hampir duapuluh tahun.
Komuniti Jawi Peranakan berasal dari masyarakat berketurunan peniaga, pedagang dan pendatang dari Selatan India, terutamanya orang Malabar yang menetap di Pulau Pinang sejak akhir kurun ke-18 dan kemudiannya di Singapura. Mereka beristerikan Melayu tempatan dan keturunan mereka dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Jawi Pekan (kerana tinggal di pekan). Dari segi ekonomi, mereka adalah masyarakat yang maju, tetapi pedagang Arab dan Cina adalah golongan yang lebih maju daripada mereka. Berapa anggota komuniti Jawi Peranakan berkongsi menubuhkan syarikat percetakan dan penerbitan, terutamanya di Singapura. Sehingga awal dekad kurun ke-20 terdapat 16 akhbar atau majalah diterbitkan; tujuh di Singapura, lima di Pulau Pinang dan empat di Perak. Kebanyakannya diusahakan oleh komuniti ini.
Dari segi etniknya mereka berlainan daripada Abdullah kerana bapa Abdullah berketurunan Arab, manakala ibunya berasal daripada orang Tamil. Jikalau dilihat dari segi kegiatan penulisan, terdapat persamaan yang jelas dengan apa yang dirasakan dan dilakukan oleh Abdullah melalui penulisannya. Semua akhbar atau jurnal yang diterbitkan itu menggunakan bahasa Melayu (jawi). Sumbangan mereka kepada perkembangan bahasa Melayu dan kepada masyarakat Melayu umumnya amat besar sekali. Sekolah Melayu yang mula berkembang sejak 1880-an mendapat sumber bacaan dan ilmu yang diperlukan melalui akhbar dan majalah yang dihasilkan oleh mereka kerana kurikulum sekolah Melayu belum teratur dan buku teks belum terdapat dengan meluas di Singapura dan juga di negeri-negeri Melayu Semenanjung. Sebuah akhbar, Sekolah Melayu (Ogos 1888 – September 1889) diterbitkan khusus untuk kegunaan sekolah.
Secara kebetulannya, menjelang tamat penerbitan Jawi Peranakan, lahir pula Bintang Timur (1894-95) yang diterbitkan oleh Persatuan Orang Cina Kristian dan Pengarangnya adalah Song Ong Siang. Akhbar ini hidup selama sembilan bulan sahaja. Keistimewanya ialah akhbar ini menggunakan tulisan rumi dan ia juga akhbar harian Melayu yang pertama. Walau pun akhbar ini tidak dapat menandingi bilangan penerbitan akhbar dan majalah komuniti Jawi Peranakan, tetapi pengenalan tulisan rumi menjadikan akhbar tersebut juga digunakan oleh sekolah Melayu untuk mempelajari tulisan rumi. Akhbar ini pernah terlibat dalam perdebatan mengenai masalah Melayu dengan akhbar Jawi Peranakan. Dalam beberapa keluarannya Bintang Timur (10 Oktober 1894) menerbitkan rencana membincangkan mengenai “Mengapa Melayu Layu?” Menurut penulisnya, tulisan itu disiarkan untuk “kebaikan orang Melayu.” Pengarangnya mengemukan penilain kritis untuk menghuraikan isu yang dikemukakannya. Antaranya adalah mengenai kemunduran ekonomi dan pendidikan: berlebih-lebihan berpegang kepada adat lapuk, sikap pemimpin tradisional yang keterlaluan (ketagih candu, sukakan perempuan dan judi), kekurangan cita-cita dan usaha, cemburu kepada sesiapa yang memiliki kebolehan dan ketidakupayaan mereka mengamalkan sikap membantu di antara satu sama lain.
Jawi Peranakan yang mendapati sukar untuk menjawab kritikan tersebut telah mengambil sikap bermusuhan dengan masyarakat China Neger-Negeri Selat dengan menulis mengenai sikap serta adat orang Cina (stereotype) yang tidak disenangi oleh orang Melayu. Satu aspek yang menarik adalah sikap komuniti Jawi Peranakan terhadap orang Melayu. W. R. Roff dalam penialaiannya terhadap sumbangan komuniti itu kepada masyarakat Melayu mengatakan mereka bukan sahaja “menulis sebagai orang Melayu, malah menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada orang Melayu.” Kepentingan Melayu adalah kepentingan mereka juga. (Roff, 1980, hlm. 49). Sikap Ini tidak berbeza daripada pemikiran Abdullah.
Apabila majalah al-Imam (1906-1908) yang diusahakan penerbitanya oleh al-Hadi, Sheikh Tahir dan Haji Abas lahir, barulah perbincangan kritis dan menyeluruh mengenai berbagai masalah yang dihadapi oleh orang Melayu seperti yang dimulakan oleh Abdullah dan berikutnya dibincangkan oleh Jawi Peranakan mulai memenuhi lembaran akhbar tersebut. Walaupun akhbar ini terhenti penerbitan pada keluaran ke-33, tetapi cakupan perbincangannya menyentuh keseluruhan kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu. Mereka mempunyai ideologi perjuangan yang jelas: bangsa Melayu perlu membebaskan diri kemunduran ekonomi dan dari belenggu kejahilan, kezaliman pembesar serta menjauhi amalam khurafat serta bidaah yang berpunca daripada ajaran ulama tradisional. Orang Melayu wajib mengatasi masalah kekurangan ilmu dan pengetahuan, kelemahan bahasa dan berusaha membebaskan bangsa mereka daripada penjajahan kuasa asing. Majalah ini adalah penerbitan terawal yang membawa gagasan yang jelas dari segi pembaharuan masyarakat yang berteraskan ajaran Islam. Ia membincangkan dengan serius berbagai persoalan Islam dalam hubungannya dengan kehidupan sosial, ekonomi, politik Melayu dan muslim amnya. Al-Imam menjadi jurucakap utama dan pertama dalam perjuangan reformis Islam yang kemudiannya dikenali sebagai Kaum Muda. Mereka mempunyai jalinan iakatan ideologi dengan gerakan yang sama di Asia Barat, terutamanya di Mesir.
Ketiga-tiga tokoh ini turut menubuhkan madrasah yang selaras dengan pemikiran Islam yang dipercayai mampu menghadapi cabaran pembaharuan dan perubahan zaman. Al-Hadi berketurunan Arab, Sheikh Tahir (berkelulusan Sarjana Muda Universiti al-Azhar, 1897) dan Haji Abas (lahir di Singapura) berketurunan Minangkabau. Satu perkembangan yang menarik adalah pengarang al-Imam juga turut merasakan perlu menjelaskan kedudukan mereka dalam hubungan dengan masyarakat Melayu:
Sungguh pun kami ini bukan daripada orang sini pihak keturunan tetapi daripada mereka itu peranakan istimewa pula telah kami sukakan negeri mereka itu watan bagi kami. Betapa tidak pada hal sudah minum kami akan air susunya dan telah tumbuh daripadanya nikmat perhiasan kesenangan kami tidakkah menjadi terhutang kami kepada negerinya dan anak-anaknya?
Pengarang al-Imam bukan sahaja sering menggunakan istilah bangsa dalam artikelnya apabila merujuk kepada orang Melayu, malah turut mengingatkan mereka mengenai ancaman kolonialisme Barat yang sedang melanda orang Timur umumnya:
Hai segala bangsa Timur tidakkah kita malu dan tidakkah kita berasa hancur luluh hati kita kerana bangsa kita telah diceburkan oleh bangsa ajanib [asing] dalam danau kehinaan… inilah setengah siasah ajanib sejahat-jahat siasahlah yang dilakukan di muka bumi ini. Maka patutlah segala bangsa-bangsa umat Timur itu mengambil ibarat dan cemburu yang bersungguh-sungguh pada melepaskan dirinya dari perhambaan yang amat hina yang tiada suatu umat pada masa ini mendapat kehinaan yang terlebih daripadanya (al-Imam: Januari 1907 - Aziz Mat Ton, hlm. 174)).
Kesedaran yang diperlihatkan oleh Al-Imam ini menandakan bermualanya suatu era perjuangan yang baru berbanding dengan yang dilakukan oleh Abdullah dan komuniti Jawi Peranakan. Majalah itu sememangnya mengiktiraf sumbangan pemikiran terawal itu, tetapi Al-imam menghuraikan dengan mendalam serta kritis sebab musabab terjadinya nasib yang menimpa bangsa Melayu dewasa itu yang dipercayainya berada “dalam danau kehinaan.” Setelah Al-Imam tamat penerbitannya, perjuangannya diteruskan oleh majalah Neraca (1911-1915) dan pengarangnya adalah Haji Abas Taha. Pulau Pinang kemudiannya muncul sebagai pusat kegiatan Kaum Muda dengan perpindahan al-Hadi ke situ pada 1918. Selain menubuhkan madrasah al-Masyhur beliau menubuhkan Jelutong Press (1927) dan majalah terpenting yang menjadi suara utama gerakan ini ialah al-Ikhwan dan Saudara.
Pemikiran yang terkandung dalam Al-Imam, Neraca, Al-Ikhwan dan Saudara semakin mendapat tempat dalam wacana perjuangan bangsa Melayu. Banyak artikel diterbitkan dalam akhbar Utusan Melayu, edisi Melayu kepada The Singapore Free Press (1907-1922) dan Lembaga Melayu, edisi Melayu kepada The Malayan Tribune (1914-1931). Isu kemunduran Melayu dalam berbagai kehidupan mereka diperkatakan dengan meluas mulai 1913. Za’ba menyumbangkan ratusan artikel dalam kedua-dua akhbar tersebut dari 1916 hingga 1922.
Pemikiran Abdul Majid Zainiddin boleh dijadikan contoh untuk menilai kesinambungan dan juga perubahan dalam perkembangan wacana perjuangan bangsa seperti terdapat dalam lembaran Al-Imam itu. Abdul Majid berpendidikan Inggeris dan menjadi guru Melayu pertama di Malay College Kuala Kangsar (1907-1918), kemudian sebagai Guru Besar Melayu pertama Kolej Perguruan Matang, Perak dan berakhir dengan jawatan Pegawai Khas Urusan Haji merangkap Pegawai Cawangan Khas Polis di Kuala Lumpur. Beliau memahami bangsanya telah terjerumus ke dalam “danau kehinaan” seperti diungkapkan oleh Al-Imam. Abdul Majid menyeru supaya bangsanya bangkit dan berusaha untuk mengatasi masalah kemiskinan mereka. Gurindam yang dituliskannya pada 1913 menjelaskan hakikat itu:
Bangkitlah bangkit
Tidakkah ingin menjadi kaya dengan bangat [segera]
Mengapa dibiarkan bangsa lain bertanam getah di tanah kita?
Bijih dan getah
Inilah jalan kejayaan yang tentu!
Hasil negeri kita yang besar dapat dari situ.
(Utusan Melayu, 1913)
Abdul Majid memberikan contoh, “lihatlah kejayaan Loke Yew dan Chow Kit … hartanya beribu dan bermiliun ringgit.” Beliau juga berpendapat wang sangat penting dalam kehidupan, malah “hilang bangsa jika tidak berwang.” Satu daripada jalan keselamatan ekonomi Melayu menurutnya adalah dengan “jalan perniagaan” dan juga melalui pendidikan. Beliau juga aktif menyebarkan pemikiran gerakan islah Islam yang berpusat di London serta mempunyai cawangan di India dan Singapura. Pada 1941 beliau menerbitkan majalah The Modern Light untuk meng-“enlighten his fellow men with the true spirit of Islam in every way possible to him.”
Kerangka pemikiran Abdul Majid mengenai masalah kemunduran Melayu serta penglibatannya dengan gerakan islah itu hampir menyamai semangat serta perjuangan Al-Imam, tetapi beliau amat berhati-hati dalam penulisannya dan cenderung untuk mengekalkan status quo politik kolonial di negeri-negeri Melayu. Menurutnya, orang Melayu memerlukan perlindungan dan kerajaan British adalah “masters who not only protect you but respect your rights” (Abdul Majid, 1928).
Pemikiran beliau itu boleh dianggap sebagai mewakili golongan pembesar serta aristokrat Melay sezaman dengannya. Abdul Majid juga menyedari status dirinya sebagai bukan Melayu jati kerana ibu dan bapanya berasal dari Minangkabau. Menurutnya, istilah jati itu merujuk kepada orang Melayu asal di sesuatu negeri. Misalnya di negeri Perak, anak Melayu jati adalah mereka yang berasal dari negeri itu dan diakui sebagai rakyat oleh sultan negeri tersebut. Orang seperti Abdul Majid, walau pun dilahirkan di Perak atau di mana-mana negeri di Semenanjung (beliau dilahirkan di Selangor) dirujukkan sebagai anak dagang (Abdul Majid, 1941). Abdul Majid bersekolah di Victoria Institution, Kuala Lumpur (1895-1901), menyambung persekolahan di MCKK (1905-1906), kemudian berkhidmat di Perak (MCKK dan Matang) dari 1907 hingga 1922. Pengalaman tinggal di Perak selama 15 tahun itu mungkin menimbulkan perasaan kelainan pada dirinya berpunca daripada asal keturunannya. Za’ba juga pernah tinggal di Perak dari 1918 hingga 1939 dan beliau juga bukan anak jati negeri Perak. Bapanya berketurunan Bugis dari Linggi dan ibunya berketurunan Minangkabau dari Kuala Pilah. Za’ba tidak pernah menyatakan perkara tersebut dalam tulisannya seperti mana dijelaskan oleh Abdul Majid itu. Inilah perbezaan awal di antara keduanya.
Za’ba serta Abdul Majid terlibat dalam mengasaskan penubuhkan persatuan Islam yang dikenali sebagai Anjuman Islam di Singapura pada 1921. Ini adalah cawangan kepada Persatuan Islam di London yang diketuai oleh Khwaja Kamaluddin. Satu daripada tujuan utama penubuhannya, selain menjalankan usaha memajukan masyarakat muslim, adalah melancarkan gerakan dakwah Islam untuk menghadapi arus perkembangan gerakan pendakwahan Kristian di Asia Tenggara seperti yang diusahakan oleh Shellabear itu.
Pada 1921 Za’ba juga menyertai pertubuhan kebajikan Islam komuniti Jawi Peranakan di Pulau Pinang, iaitu Young Muslim Union Penang. Pertubuhan ini aktif dalam usaha memajukan masyarakat muslim dengan berbagai kegiatan pendakwahan, penyediaan perpustakaan awam, dan menjadi jurucakap muslim dalam hal ehwal masyrakat muslim di negeri tersebut.
Kemudiannya Za’ba berusaha menubuhkan persatuan untuk menyebarkan pemikirannya, semasa di MCKK (1918-1923) segala kegiatannya termasuk penulisannya mulai diawasi pihak berkuasa. Pada 1921 Za’ba bersama Muhammad Zain Ayob berusaha menubuhkan Persatuan Guru-Guru Melayu Pulau Pinang. Persatuan ini menerbitkan majalan Panduan Guru (1922). Za’ba ditukarkan ke Kuala Lumpur pada 1923 kerana kegiatannya itu. Di Kuala Lumpur Za’ba menubuhkan Persatuan Persuratan Melayu Kuala Lumpur. Kebanyakan ahlinya ialah penjawat awam dan pegawai Melayu yang berkhidmat di situ, tetapi disertai juga oleh al-Hadi dan Sheikh Tahir. Tujuannya untuk memajukan bahasa dan persuratan Melayu dan akan menubuhkan perpustakaan awam. Kegiatan ini diawasi oleh pihak berkuasa. Abdul Majid yang menjadi Pegawai Cawangan Khas Polis dipercayai terlibat dalam kegiatan pengintipan terhadap kegiatan itu. Za’ba ditukarkan pula ke Sultan Idris Tanjung Malim (1924) dan persatuan itu gagal didaftarkan.
Semasa berada di Kuala Lumpur Za’ba bersama adiknya Muhammad Yusuf dan bapa saudaranya Muhammad Datuk Muda mengusahakan penubuhan persatuan guru-guru Melayu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Ini menjadi kenyataan, dan pada 1924 lahir Majalah Guru. Pada awal 1930-an persatuan guru lahir di seluruh negeri di Semenanjung dan majalah itu menjadi jurucakap ‘perjuangan’ guru seluruh Tanah Melayu. Ia adalah majalah yang paling berpengaruh sebelum Perang Dunia Kedua. Pada 1930-an kegiatan sosial Za’ba menjadi amat terhad kerana diawasi pihak kerajaan kolonial, tetapi beliau masih dapat bergiat secara di belakang tabir sahaja. Ini yang berlaku dalam penubuhan beberapa persatuan guru di negeri-negeri Melayu itu. Satu pertubuhan yang dianggap oleh Cawangan Khas Polis sebagai kegiatan kongsi gelap ialah Persatuan Sahabat Pena yang lahir di Pulau Pinang di awal 1930-an. Anak al-Hadi, Syed Alwi serta ramai sahabat Za’ba terlibat dalam penubuhannya. Satu kongres diadakan di Taiping, Perak pada 1934 untuk membincangan masalah yang dihadapi oleh bangsa Melayu. Za’ba dilantik sebagai Penaung pertubuhan itu.
Za’ba muncul dalam arena perjuangan kebangsaan Melayu ketika berumur 21 tahun (1916). Beliau sangat gigih membela maruah bangsanya melalui mata pena dan kegiatan berpersatuan. Cakupan pemikirannya meliputi segala aspek kehidupan Melayu yang merangkumi aspek rohani serta jasmaninya. Masyarak Melayu dipercayainya bukan sahaja tertindas oleh penjajah British, malah oleh para ulama konservatif dan pembesar mereka. Para ulama konservatif itu dianggapnya sebagai Kaum Tua, tetapi mempunyai kuasa kerana menjadi pegawai dalam majlis agama Islam di negeri-negeri Melayu. Menurut Za’ba, mereka adalah:
Ulama Tua yang tiada baginya kenangan atas kemajuan dan tiada atas … ilmu melainkan hendak menjahanamkan dan mempermain-mainkan akan segala anak-anak Islam yang berani dan mencuba hendak menaikkan dan memuliakan semula akan bangsa-bangsa muslimin yang telah jatuh terendam karam ini (Adnan, 1998).
Golongan pembesar atau dirujukkannya sebagai “orang patut-patut” pula “duduk senang-senang dalam mahligai dengan nikmat sentosa dan cukup puas hati pula datang rasa hatinya memandang anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh di belakang penumpang negeri.” Za’ba berpendapat bangsa Melayu akan berterusan berada dalam keadaan “hina kepapaan” akibat daripada perkembangan sejarah tersebut.
Za’ba mengakui dirinya berpegang kepada fahaman Islam Kaum Muda dan inilah asas yang mendasari pemikiran dan perjuangannya. Beliau bukan sahaja menulis banyak rencana mengenai masalah Melayu dan muslim, malah turut menjalinkan persahabatan dengan Sheikh Tahir Jalaluddin, al-Hadi dan Khwaja Kamaluddin (pengasas Persatuan Islam di London serta pengarang majalah Islamic Review yang diterbitkan pada 1913) yang juga Imam Masjid Woking, di Surrey, England. Za’ba mempunyai hubungan persahabatan dengan Pengarang al-Mannar di Mesir, iaitu Rashid Ridha sejak 1920. Rashid Ridha adalah pengikut setia Muhammad Abduh, tokoh gerakan islah Islam Kaum Muda yang terkenal di dunia hingga masa kini.
Za’ba memiliki idea perjuangan kebangsaan Melayu yang jelas. Beliau bukan sahaja mahu mewujudkan suatu bangsa Melayu yang terhad kepada penyatuan Melayu di Semenanjung sahaja, tetapi merentasi Selat Melaka juga. Konsep ‘bangsa Melayu’ seperti diungkapkan oleh Za’ba itu perlulah difahami dalam konteks pemikiran beliau sendiri. Za’ba sering menyebutkan istilah ‘Melayu’ dan ‘Kaum Melayu’ dalam banyak tulisannya. Menurut Za’ba, erti ‘Melayu’ adalah “seorang Islam bangsa Melayu, anak Melayu keturunan Melayu, darah Melayu, hati Melayu dan keadaan Melayu”. Manakala ‘kaum Melayu’ pula mencakupi mereda yang berada di Alam Melayu atau Dunia Melayu yang dijelaskannya dengan berkata:
Bahawa Kaum Melayu itu satu darah asalkan Melayu namanya dan Islam agamanya walau di mana pun cerok rantau jajahan negerinya (Pahang, Kelantan, Jawa, Boyan, Minangkabau, Bugis atau lainnya (Utusan Melayu, 1917)
Rujukan Za’ba itu ialah kepada penyatuan Melayu yang luas, sama seperti disebutkan oleh Stamford Raffles terlebih awal. Penyatuan ini bukan bersifat berpuak-puak, tetapi bangsa Melayu dari satu keturunan, satu wilayah (Alam Melayu) dan beragama Islam. Menurut Za’ba, kesepaduan Melayu dan muslim di rantau inilah yang menjadikan mereka sebagai suatu bangsa. Ciri-ciri itu membezakan mereka dengan bangsa lain, terutama dengan British. Bangsa Melayu-Muslim disifatkannya sebagi “bangsa yang kena perintah”, manakala pihak British ialah “bangsa pemerintah”. Za’ba menegaskan bahawa Islam adalah faktor penyatuan yang terpenting sekali kerana “tiap-tiap kemuliaan dan kelebihan yang tidak dibangunkan di atas foundation kemuliaan bangsa dan watan itu … ialah dusta namanya” dan untuk mengelakkan daripada perkara “yang tiada dusta”, Islam hendaklah dijadikan asas yang terunggul. Za’ba menjelaskan:
Bangsa dan watan yang biasa difahamkan oleh orang-orang Barat itu sempit serta tidak hiraukan hak-hak dan keselamatan bangsa-bangsa asing asalkan pada perkara yang membawa kemuliaan dan keselamatan kepada bangsa sendiri. Maka inilah perasaan yang telah membawa kepada peperangan dan berdengki-dengkian di antara satu bangsa dengan satu bangsa mereka itu walau pun mereka itu seagama. Bangsaku! Negeriku! iaitu benar atau salah bangsaku! negeriku! Bangsa yang lain jahanamlah asalkan bangsaku selamat jadilah. Kalau bangsa-bangsa lain itu semua boleh jadi hambaku dan memberi faedah kepada aku lagi baik. Asalkan dapat besar!! (Tanah Melayu bagi orang Melayu sahaja! Tanah Jawa bagi orang Jawa sahaja. Kata Johor Melayu Johor sahaja yang lebih! Kata Kelantan Melatyu Kelantan sahaja! Kata Perak orang Perak sahaja, apa peduli orang lain!!!) Sesungguhnya inilah perasaan kemuliaan bangsa dan watan yang jangan sekali-kali ditanamkan kepada orang kita. Yang kita mahu ialah habbul watan yang luas – iaitu kemuliaan Islam walau seorang muslim itu Benggali, Jawa, Keling, Cina atau lain-lain (al-Ikhwan, 1926).
Pada 1930-an, Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad selaku wartawan terkenal zaman itu terlibat aktif membahaskan konsep bangsa Melayu, terutama mengenai status kemelayuan komuniti Jawi Perananakan yang dikenali pada 1930-an sebagai Darah Keturunan Keling (DKK) dan Darah Keturunan Arab (DKA). Menurut Kajai terdapat dua takrif Melayu, iaitu Melayu Jati dan Melayu Dagang (seperti Minangkabau, Bugis, Jawa) yang berasal dari Alam Melayu, manakala orang Cina, India serta DKK dan DKK adalah bukan Melayu. Bangsa Melayu hanya terkhas kepada Melayu Asal dan Melayu Dagang sahaja kerana Melayu Dagang itu dijelaskannya sebagai sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Melayu Asal di Tanah Melayu (Adnan: hlm. 226-230, 2009)
Satu aspek yang perlu dijelaskan ialah idea Za’ba mengenai bangsa Melayu yang luas itu kemudiannya dikenali sebagai Melayu Raya. Perjuangan Za’ba untuk melihat bangsanya terbebas dari belenggu kemiskinan, kejahilan dan kehinaan akibat daripada perluasan penjajahan sejak dari kurun ke-15 mula mendapat tempat di kalangan aktivis politik tempat 1930-an. Penubuhan Kesatuan Melayu Muda (1938) menandakan bermulanya suatu perjuangan kemerdekaan di negeri-negeri Melayu. Ibrahim Yaakob, bekas pelajar Za’ba di SITC bersama Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestaman dan Ishak Haji Muhammad adalah pemimpin gerakan itu. Pada 1945 tertubuh pula Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya, juga melibatkan pemimpin yang sama kecuali Ibrahim Haji Yaakob. Kedua-dua pertubuhan tersebut memperjuangkan idea Melayu Raya seperti mana dikonsepsikan oleh Za’ba.
Za’ba sendiri diterima menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS) pada 1946. Beliau bukan ‘rakyat’ Selangor dan bukan dari golongan pembesar seperti Tengku Ismail, bekas Yang Dipertua PMS sebelumnya, tetapi diterima mengetuai institusi itu. Isu penubuhan Malayan Union muncul pada 1946 juga. PMS pimpinan Za’ba mengambil iniatif menganjurkan Kongres Melayu Setanah Melayu pada 1946. Za’ba terpilih oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu sebagi Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres itu. Kongres yang berlangsung pada Mac 1946 itu akhirnya melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Za’ba mengesyorkan supaya nama Pertubuhan Melayu Bersatu yang disyorkan oleh Dato’ Onn supaya dilengkapi dengan perkataan ‘kebangsaan’ dan diterima oleh ahli kongres. Ini menjadikan pertubuhan itu menepati sifat kebangsaan yang termasuk Melayu dagang, DKA dan DKK seperti yang dikonsepsikannya. Kemudiannya lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali sebagai UMNO (United Malays National Organisation).
PENUTUP
Perjuangan untuk menyatukan Melayu hingga menjadikan mereka tergolong ke dalam suatu bangsa telah melalui liku-liku sejarah yang menarik. Setiap individu yang dirujukkan itu memberi sumbangan ke arah kemunculan, perkembangan dan kesinambungan konsep tersebut. Sejarah juga menyaksikan bahawa kegiatan penulisan, percetakan dan penubuhan institusi pendidikan seperti penubuhan madrasah yang progresif kurikulumnya yang diasakan oleh al-Hadi hanya berlaku di Singapura dan Pulau Pinang (Negeri-negeri Selat) yang berada di bawah kuasa mutlak British.. Hanya sebuah madrasah lahir di di Gunung Semanggol (1934) Perak, iaitu al-Ihya al-Syarif. Individu yang terlibat juga kebanyakannya bergiat aktif atau datang Negeri-Negeri Selat, kecuali yang muncul menjelang akhir 1930-an seperti Ishak, Burhanuddin dan Boestaman. Mereka yang terlibat pula kebanyakannya bukan Melayu asal atau yang menjadi rakyat di negeri-negeri Melayu.
No comments:
Post a Comment
Komen dengan penuh berhemah.Sebarang kata-kata kesat dan kata-kata yang boleh menyentuh sebarang sensitiviti amat dilarang.